*Siapa suami?
*
Lelaki yang mengucapkan qabul (akad terima) janji perkahwinan dengan seorang
gadis atau wanita tertentu. Termasuk dalam definisi ini juga lelaki yang
‘dipaksa’ menikahi atau mengahwini gadis/wanita yang bukan pilihannya.
*Kelayakan sebagai suami
*
Tidak semua lelaki layak menjadi suami. Kelayakan menjadi suami bukan
terletak kepada umur, pangkat pekerjaan, banyaknya harta atau kacak paras
rupa.
Syariat Islam menetapkan terdapat lima hukum asas bagi seseorang lelaki yang
berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya. Hukum asas
inilah yang menjadi pertimbangan kelayakan seorang lelaki untuk berkahwin
dan memegang status seorang suami.
Kenapa hanya lelaki? Kerana lelaki adalah ketua keluarga dan bila ketua
adalah seorang yang betul-betul layak, insyaAllah ketua ini akan mampu
melayarkan bahtera rumahtangganya berlandaskan kehendak syariat dan mampu
merealisasikan perkahwinan menepati prinsip dan hikmahnya.
Lima hukum tersebut ialah wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
Wajib - apabila lelaki itu mampu dari segi fizikal dan kewangan malah
dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.
Sunat - lelaki yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai
keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan
zina sekiranya tidak berkahwin.
Haram - lelaki yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga
bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.
Makruh - lelaki yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi
berkeinginan untuk berkahwin.
Harus - lelaki yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin
dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.
Berdasarkan hukum asas ini, jika anda berada dalam kategori wajib, sunat dan
harus, anda adalah lelaki yang layak berkahwin. Sebaliknya jika anda berada
dalam kategori haram, sudah jelaslah anda memang tidak layak berkahwin. Jika
anda berada dalam kategori makruh pula, secara mudahnya, walaupun anda tidak
diharamkan berkahwin tetapi anda juga tidak layak berkahwin. Memanglah
makruh sahaja dan bukan haram tetapi perkara makruh juga adalah perkara yang
tidak disukai oleh Allah. Jika jelas dan nyata anda tidak mampu memberi
nafkah kepada isteri sedangkan memberi nafkah adalah kewajipan dan
tanggungjawab suami, apa lagi yang boleh bakal isteri atau isteri anda
harapkan daripada anda nanti? Harapkan kewajipan menunaikan nafkah batin?
Hmmm… secara kasarnyalah, sama sajalah anda dengan gigolo kat luar sana!!
*Peranan dan tanggungjawab suami
*
Islam menetapkan setiap suami wajib menjalankan peranan dan tanggungjawabnya
dengan sebaiknya. Dengan sebaiknya bermaksud berusaha sedaya upaya untuk
menjalankan semua peranan dan tanggungjawab yang disenaraikan tanpa rasa
lelah, jemu atau bosan.
*Kewajipan melayani isteri dengan baik.*
**Tanggungjawab seorang suami yang paling utama ialah melayan isteri dengan
penuh kebaikan. Seorang suami wajib melayani isterinya dengan tingkah laku
yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dan
munasabah mengikut syarak.
Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi
layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah
undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan
perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan
dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang. Suami juga
perlu berusaha memupuk kasih sayang isteri seperti di dalam kes perkahwinan
paksa.
Layanan yang baik juga bermakna isteri perlu diperlakukan seperti seorang
manusia merdeka, bukannya hamba yang menurut segala arahan tuannya yang
membabi buta. Seorang isteri perlu dipanggil dengan ucapan yang menunjukkan
kasih sayang seperti nama manja isteri ataupun apa jua panggilan yang
menggambarkan betapa suami menyintai dan menghargai isteri. Seorang isteri
tidak berhak menerima kata-kata seperti bodoh, otak singkat atau apa juga
panggilan yang menyakitkan hati.
*Memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan*
**Tanggungjawab suami yang tidak kurang pentingnya ialah memberi nafkah
untuk isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan
segala keperluan isteri yang munasabah dan tidak bercanggah dengan
syarak.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin
yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan
orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga
kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari
harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami
tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar.
Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi
kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan
mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.
*Menyediakan rumah untuk isteri*
**Sebenarnya, menyediakan rumah atau tempat perlindungan untuk isteri dan
anak-anak adalah termasuk di bawah kewajipan seorang suami menyediakan
nafkah zahir. Namun, pengalaman saya melayani kerenah ahli masyarakat kita
hari ini yang pelbagai, ada baiknya saya lakukan perincian. Tambahan pula,
banyak kes kekecohan rumahtangga adalah disebabkan kegagalan suami
menjalankan kewajipan menyediakan rumah untuk isteri.
Islam tak menetapkan tentang bentuk atau saiz rumah. Yang penting, ia adalah
di dalam kemampuan suami. Memadailah sebuah rumah yang sesuai dan selesa
bagi menjalani kehidupan seharian sebagai suami isteri seterusnya sebagai
ibu bapa.
*Melayani keperluan seks isteri*
**Ramai yang salah faham tentang layanan seks di dalam sesebuah perkahwinan.
Rata-rata kes, kewajipan melayan keperluan seks diletakkan sepenuhnya kepada
isteri.
Hakikatnya, sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material
isterinya, menjadi tanggungjawabnya juga untuk melayani keperluan batin
isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk
berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga
berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan
(berjimak), sama seperti suami.
*Bersikap romantik terhadap isteri*
**Tahukah anda, Rasulullah SAW sering mengucup isteri baginda dengan penuh
rasa kasih sayang. Rasulullah SAW pernah mencium isterinya sebelum pergi
menunaikan solat di masjid.Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi
berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang; bukan
sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?
Saya akui, budaya ini memang agak asing bagi masyarakat kita. Kenapa jadi
asing? Sebab kita tidak membiasakan diri kita melakukannya. Lantas, ciumlah
isterimu wahai para suami! Bukan membiasakan diri dengan budaya barat
sebaliknya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Justeru, apa lagi yang menghalang
anda untuk mencium isteri atau apa-apa juga perlakuan romantik lain?
*Bergurau dengan isteri*
**Rasulullah SAW sering bergurau senda dengan para isterinya. Aisyah r.anha
telah berkata yang bermaksud: “Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku
menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku
berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda:
Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - hadis riwayat Abu
Daud.
Jika Rasulullah SAW boleh bersenda gurau dengan isteri baginda, kenapa tidak
anda?
*Meluangkan masa bersama isteri*
**Walau sesibuk mana sekalipun menguruskan tugasan, suami tetap perlu
berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Tidak dinafikan, kesibukan
suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain di samping mencari nafkah
menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia terlupa isterinya
memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya.
Ada suami yang hanya pulang dengan wajah kelesuan, tidak bermaya dan terus
melelapkan mata tanpa berbual dengan isteri. Yang lebih perit adalah apabila
suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap
isteri.
Ya!! Isteri anda tahu anda penat. Anda bekerja mencari nafkah untuk
keluarga. Tetapi anda juga harus faham kehendak isteri anda. Kalau sehari
dua tidak dilayan, mungkin boleh ditahan. Tetapi jika selalu saja begitu,
tidak diendah dan dipedulikan? Tambah bila ada orang yang mampu menggantikan
tempat anda. Ingat!! Isteri anda juga adalah manusia biasa. Jangan selalu
mengharapkan pemahaman dan pengertiannya sebaliknya anda sendiri gagal
memahami dan mengerti kehendak dirinya.
Uruskanlah kerja anda dengan baik. Usahakan untuk anda meluangkan masa
bersama isteri anda. Jika Rasulullah SAW mampu meluangkan masa baginda
dengan isteri, kenapa tidak anda?
**
*Wujudkan suasana ibadah dalam rumahtangga
*
Lelaki dipertangungjawabkan oleh Allah SWt sebagai pemimpin keluarga.
Pemimpin yang baik semestinya lah seorang pemimpin yang mengutamakan segala
suruhan-Nya. Lantas, menjadi tanggungjawab seorang suami untuk mewujudkan
suasana ibadah di dalam rumahtangga.
Bagaimana caranya? Paling utama, seorang suami hendaklah mengerjakan segala
suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Solat lima waktu
yang wajib mesti dikerjakan bersungguh-sungguh. Pastikan isteri dan
anak-anak juga mengerjakan solat yang wajib. Malah, satu kelebihan jika anda
sebagai suami dan bapa dapat mengimamkan isteri dan anak-anak anda. Tak
perlu jadi ustaz atau imam, jadilah diri anda sendiri yang sentiasa
mengutamakan tuntutan agama dan keredhaan Ilahi, insyaAllah, perkahwinan dan
rumahtangga anda akan aman harmoni.
*Sentiasa tunjukkan wajah ceria*
**Tidak dapat dinafikan, raut wajah seseorang boleh menggambarkan pelbagai
makna malah mampu mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang
ceria semestinya akan dapat menenangkan jiwa isteri. Walau sesusah mana pun
hati anda, cuba juga tampilkan wajah ceria. Masalah di tempat kerja jangan
sesekali dibawa pulang ke rumah kerana ia boleh membantutkan keceriaan
rumahtangga anda. Bukan tak boleh nak bercerita kepada isteri malah
sewajarnya anda berkongsi setiap masalah anda dengan pasangan anda tetapi
anda perlu pastikan luahan anda itu tidak mengganggu keceriaan rumahtangga
anda.
*Menjaga penampilan diri*
**Bukan sahaja wajah yang perlu ceria, suami juga hendaklah menjaga
penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Hakikatnya,
bukan isteri sahaja perlu berhias untuk suami tetapi para suami juga perlu
berhias dan tampil segak dan kemas di hadapan isteri. Bukan perlu papa untuk
bergaya kemas tetapi cukuplah sekadar sejuk mata memandang. Yang sejuk mata
memandang inilah yang menjadi masalah kepada sesetengah pihak selepas
berkahwin.
Sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Abbas r.a pernah menceritakan bahawa Rasulullah
SAW menyuruh beliau tampil kemas dan segak di hadapan isteri: “Sebagaimana
isteri kamu berhias untuk kamu, kamu juga perlu berhias untuk isteri kamu.”
*Bersabar melayani kerenah isteri*
**Wanita sinonim dengan sikap emosional dan suka ikut perasaan. Lantaran
itulah, para suami perlu bersabar ketika menghadapi kerenah dan sikap
isteri.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nasihatilah wanita dengan baik.
Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian paling bengkok
dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya
bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus
membengkok. Maka, nasihatilah wanita dengan baik.” - hadis riwayat
al-Bukhari.
Hadis ini menegaskan agar setiap suami menasihati isteri dengan cara yang
penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan
kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan permasalahan
malah akan memburukkan lagi keadaan.
*Hukum taat dan hormat
*
Seperti huraian di dalam persoalan yang dikemukakan, tanggungjawab seorang
isteri yang paling utama ialah taat dan patuh kepada suaminya. Ketaatan
seorang isteri kepada suami berada di tahap teratas, melebihi segala
ketaatan kepada sesiapa pun juga termasuk ibu dan ayah kandung si isteri
sendiri.
*Persoalannya, apakah semua lelaki bernama suami kini, menepati kelayakan
untuk ditaati dan dihormati sebagai suami?* Saya pecahkan kepada dua
bahagian: taat dan hormat. Taat dan hormat adalah dua perkara berbeza.
Seorang isteri wajib taat kepada segala kata-kata dan arahan suami selagi
kata-kata dan arahan tersebut tidak melanggar saranan dan arahan hukum
syarak. Isteri juga wajib hormatkan suami, menjalankan kewajipan yang wajib
bagi isteri walaupun suami anda tidak berjaya (setelah berusaha sedaya
upayanya) menjalankan peranan dan tanggungjawab yang wajib baginya secara
sepenuhnya.
Ingatlah kaum wanitaku semua, walau siapa pun kita, walau apa juga jawatan
yang kita pegang, walau apa juga gelaran atau bintang yang kita perolehi,
selagi kita bernama isteri, selagi itulah kita perlu hormat, taat dan
cintakan suami sepenuh hati. Bukannya sekadar cinta di kala suami berharta
tetapi cinta sepanjang masa, di waktu senang juga di masa susahnya. Ya, saya
tahu tugas menyara keluarga terletak di bahu suami tetapi dah nama sebagai
isteri dan rakan kongsi suami, kita wajar membantu suami di kala suami susah
dan menghadapi masalah kewangan dan segala masalah lainnya.
Bukannya bererti apabila tanggungjawab nafkah adalah di bahu suami dan
apabila suami menghadapi masalah menunaikan kewajipannya itu, kita harus
angkat kaki ataupun mencari lelaki lain sebagai pengganti. Sewajarnya,
apabila keadaan ini terjadi, kita sebagai isteri menghulurkan bantuan dan
sokongan kepada suami. Bantu selagi daya, sokong segala cara.
Ya… mungkin ada yang bimbang jika bantuan yang diberi disalahgunakan oleh
suami. Risau jika sokongan yang dihulur, disalaherti pula oleh suami.
Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, rekodkan setiap perbelanjaan
yang kita hulurkan demi bantuan dan sokongan tersebut. Simpan segala bukti,
insyaAllah, bukan meminta tetapi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di
belakang hari, kita dah cukup pertahanan diri.
Persoalan penting juga, apakah tanggungjawab isteri melayani kehendak seks
suami adalah mutlak? Tidak ada rukhsah atau pengecualian?
Hakikatnya, hadis-hadis yang diutarakan dan memang mantap di dalam minda
ramai orang terutama suami, adalah sebagai menunjukkan betapa beratnya
kewajipan isteri di dalam memenuhi kehendak batin suami kerana hanya isteri
sebagai jalan melepaskan nafsu lelaki yang satu itu. Tetapi, bukan bererti
kewajipan tersebut adalah muktamad, tidak ada campur bahagi. Sebenarnya
kewajipan suami isteri di dalam rumahtangga termasuklah hubungan suami
isteri lebih kepada berbentuk tolak ansur.
Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya
hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita,
tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam
hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan kedua-dua pihak. Sekiranya si
isteri melakukan di dalam keadaan terpaksa, di mana nikmatnya yang Allah
janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut?
Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan
isteri.
Satu persoalan lagi, apakah isteri tetap wajib melayani kehendak batin suami
yang sengaja gagal menunaikan tanggungjawab? Hakikatnya, terdapat dua
jawapan bagi soalan ini iaitu ya dan tidak!
# Ya - jika suami anda daripada kalangan yang sukar menahan nafsunya dan
jika anda tidak melayaninya, membolehkan dia terjebak ke lembah maksiat.
# Tidak - jika anda tahu dan yakin dengan penolakan anda itu tidak
menyebabkan suami anda mencari kepuasan di luar.
Ingatlah! Jika suami mengarahkan isteri melakukan sesuatu yang bertentangan
dengan kehendak syarak, maka tika itu, isteri tidak wajar mentaati suami.
Sama juga dengan kehendak batin suami yang sengaja gagal dan tidak
bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, kehendak suami ini boleh
ditolak dan isteri tidak akan berdosa sekiranya menolak permintaan suami.
Kenapa? Kerana suami sengaja mengabaikan tanggungjawab. Hadis menyuruh
isteri mentaati suami yang betul-betul seorang suami. Apa maksud betul-betul
seorang suami?
Seorang suami yang betul-betul seorang suami ialah seorang suami yang
berusaha menunaikan tanggungjawab nafkah zahir dan batin seorang isteri,
bukan menunaikan nafkah batin sahaja. Masalahnya, menunaikan kehendak batin
tu, bukan memenuhi kehendak isteri sangat sebenarnya tetapi lebih kepada
memenuhi kehendak sendiri.
Lantas, wahai isteri.. bila suami anda berani menderhaka kepada Allah… maka
anda tidak wajar lagi mentaati mereka. Jika anda, sebagai isteri… kecewa
dengan sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab dan tidak mampu atau
enggan memenuhi kehendak seks suami, anda berhak menolak permintaan suami.
Jangan bimbang dengan nusyuz. Anda bukan isteri yang nusyuz semata-mata
enggan menunaikan kehendak suami yang dayus.
Seperti yang katakan tadi, jika tiba satu tahap suami tetap mempergunakan
anda demi kepuasan nafsunya semata-mata dan anda tidak mampu untuk terus
berpura-pura melayani kehendaknya, bertindak lah. Jangan biarkan diri anda
berdosa hanya kerana ingin kekal dalam perkahwinan yang gagal. Pesanan saya
kepada isteri yang mengambil alih tugas suami, simpan segala dokumen atau
resit perbelanjaan anda. Jika suami anda mengambil tindakan kerana anda
menolak ajakannya, anda berpeluang menggunakan semua itu sebagai pertahanan
diri.
*****Wallahua’lam. Harapan saya, persoalan BawangGoreng dan sesiapa saja
yang sewaktu dengannya terjawab. Dapatkan segera BUATMU WANITA! Pelbagai
topik berkaitan dibincangkan secara terperinci di dalamnya. *
Semoga bermanafaat.
--
- BawangGoreng -
http://bawangorengnet.blogspot.com
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
No comments:
Post a Comment